Input your search keywords and press Enter.

Keluarga Muhammad Adib Harap Suspek Dibawa Ke Muka Pengadilan

M Update, 27/9/2019 – Abang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Asraf, berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian adiknya segera dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, ini kerana keluarga Muhammad Adib masih menuntut keadilan, selepas hampir setahun insiden menyayat hati itu berlaku.

“Kami sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini bahawa kematian adik saya bukan akibat dilanggar. Mahkamah sebaliknya memutuskan punca kematian akibat perbuatan jenayah.

“Kami sekeluarga berharap pihak polis dapat segera menangkap pelaku jenayah dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih individu yang tak dikenali. Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima dan mempunyai asas selain ia disokong saksi ke-30, iaitu pakar Fizik dalam pengiraan formula daya.

Beliau berkata, pihaknya juga menolak teori yang dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS sebelum dilanggar. Ketika membacakan keputusan, Rofiah juga memberitahu keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki berbangsa India.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan pasukan FRU dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib. – BH Online

Leave a Reply