Input your search keywords and press Enter.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi dialog peringkat tinggi ekonomi ASEAN-Itali 2020

Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah bagi Dialog Peringkat Tinggi berhubung Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali 2020 pada Jun tahun depan, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam kenyataannya, MIDA berkata pihaknya ditetapkan sebagai rakan kongsi utama bersama-sama dengan Persatuan Itali-ASEAN dan The European House- Ambrosetti dalam menganjurkan dialog itu.

“Dialog eksklusif dan platform rangkaian kerja ini akan dihadiri pihak berkepentingan utama daripada sektor awam dan swasta ASEAN dan Itali, untuk menerokai peluang ke arah menjana hasil untuk manfaat bersama.

“Dialog peringkat tinggi ini akan berperanan menghimpunkan visi berwawasan dan pendapat kompeten pemimpin Itali dan ASEAN untuk membincangkan isu inovatif dan relevan di rantau itu,” kata MIDA.

Persatuan Itali-ASEAN ditubuhkan pada 2015 dengan objektif untuk mengukuhkan hubungan antara Itali dan Asia Tenggara dalam merebut peluang timbal balas bagi firma dan institusi di rantau itu.

The European House-Ambrosetti ialah kumpulan profesional ditubuhkan pada 1965 yang memiliki rangkaian kerja di seluruh dunia dengan mempunyai lebih 200 hubungan di peringkat tertinggi dalam pelbagai sektor.

MIDA berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, ketika ini sedang dalam rangka lawatan kerja di Itali mulai 24 sehingga 30 September 2019, untuk bertemu pelabur berpotensi, terutamanya dalam sektor berkaitan aeroangkasa, kimia, automotif dan Industri 4.0.

~BERNAMA

Leave a Reply