Input your search keywords and press Enter.

PM lancar Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam

M Update, 3/10/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini akan melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini, berkata DKKA ialah dasar dirangka khusus oleh KDN secara inklusif melalui beberapa siri libat urus dengan pemegang taruh, termasuk kementerian dan jabatan berkaitan, ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO). Ini dasar yang menyeluruh dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara ini sentiasa terpelihara, seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara aman, makmur, berdaulat dan dihormati.

DKKA menggariskan enam teras dan 21 strategi yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan, dalam mendepani pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar. Antara fokus teras dan strategi itu ialah keperluan mempertahan dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi utama negara, meningkatkan tadbir urus dan integriti, memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara serta memerangi gejala dadah.

Tema ‘Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama’ dipilih bagi DKKA untuk memastikan keberkesanan dasar ini sebagai sebuah agenda penting bersifat nasional. Dalam era semakin mencabar dan perkembangan teknologi baharu berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0, risiko dan ancaman terhadap keselamatan negara menjadi semakin kompleks dan merentas sempadan.

Justeru, kerjasama erat semua pihak penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sekaligus menjadikan negara lebih aman, harmoni dan sejahtera. Dalam melaksanakan DKKA, KDN akan mewujudkan dua peringkat penilaian bagi memantau keberkesanan pelaksanan, iaitu menerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang dipengerusiakan oleh Menteri Dalam Negeri dan Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN. – BH Online

Leave a Reply