Input your search keywords and press Enter.

Tun M : Kerajaan Sedia Kaji GST Jika Itu Kehendak Rakyat

M Update, 3/10/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bersedia mengkaji semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya itu kehendak rakyat.

Perdana Menteri berkata, kajian itu bagi melihat sama ada GST lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (GST) lebih baik dari SST ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

Selasa lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenal semula Cukai GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan. Pengerusinya, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Beliau berkata, kadar yang bersesuaian jika kerajaan melaksanakan semula sistem percukaian itu ialah tiga peratus. Katanya, pengenalan semula GST pada kadar yang lebih rendah bersama-sama pemberian subsidi akan membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Ditanya sama ada pelaksanaan GST boleh dimasukkan dalam Belanjawan 2020 minggu depan, Perdana Menteri berkata, perkara tidak mungkin dilakukan.

“Bajet ini susahlah. Mungkin kemudian,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply