Input your search keywords and press Enter.

Lanjutan Cuti Bersalin 90 Hari Kekal – TPM

M Update, 15/10/2019 – Sejajar usaha memberi lebih banyak ruang kepada wanita mendampingi anak baru dilahirkan, kerajaan kekal dengan keputusan memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari ke 90 hari, berkuat kuasa 2021.

Walaupun begitu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan untuk membuka ruang perbincangan bersama pihak berkepentingan terutama golongan majikan. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengakui menerima pelbagai bantahan daripada kalangan majikan berhubung langkah itu, namun sedia meneliti permasalahan dibangkitkan.

“Biasalah, apabila kita keluarkan rancangan baharu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Ada yang suka, ada yang kata ada masalah.

“Majikan memang kata ada masalah kalau 90 hari pekerja tak datang (bekerja) kerana ia akan mewujudkan suasana ‘kehilangan’ bagi majikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021. Ia disusuli kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dalam reaksi segeranya, mengingatkan majikan swasta yang enggan melaksanakan ketetapan itu bakal berdepan tindakan.

Dr Wan Azizah menegaskan, lanjutan cuti itu akan membolehkan ibu mempunyai lebih masa bersama bayi baru dilahirkan. Kita mahu ibu dan anak sentiasa bersama, mahu yang terbaik untuk generasi akan datang. Kadang-kadang adalah lebih baik menghabiskan masa lama dengan bayi, namun pada masa sama kita akan fikirkan mengenai majikan terutama sama ada operasi terjejas atau sebaliknya,” katanya.

Leave a Reply