Input your search keywords and press Enter.

Ibu Tinggalkan Bayi Bersama Sekeping Nota

M Update, 18/10/2019 – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan atas meja di belakang rumah seorang penduduk di Felda Palong Lapan di sini, malam tadi. Yang turut ditemui, nota dipercayai ditulis ibu bayi berkenaan yang memaklumkan nama anaknya adalah Farish Azwan.

Penulis yang mendakwa dia ibu tunggal dan tidak berkemampuan, juga meminta anaknya dijaga sehingga besar serta tidak dihantar ke rumah kebajikan. Ibu bayi terbabit turut menulis, dia mahu melihat dari jauh anaknya dibesarkan oleh keluarga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata bayi itu ditemui kira-kira jam 10 malam oleh penghuni rumah terbabit. Lelaki berusia 25 tahun itu ke belakang rumah untuk mengambil barang dalam kereta sebelum terlihat bayi di atas meja.

Dia kemudian memanggil ibunya dan mereka mendapati bayi berkenaan lengkap berpakaian dan sedang tidur. Yang turut ditemui adalah sekeping nota. Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.

Polis ketika ini sedang mengesan ibu kepada bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – BH Online

Leave a Reply