Input your search keywords and press Enter.

JPA : Pelaksanaan Pemansuhan BIPK Ditangguhkan

M Update, 9/1/2020- Pelaksanaan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang dijadual bermula 1 Januari lalu, ditangguhkan hingga kajian semula mengenainya dilaksanakan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman memaklumkan kajian mengenai pelaksanaan pemansuhan BIPK itu akan dilaksanakan dengan pihak berkaitan dan diputuskan Kabinet.

“Pelaksanaan pemansuhan BIPK kepada pegawai lantikan baharu membabitkan 33 skim perkhidmatan seperti dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 adalah ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, pemansuhan BIPK dilapor bukan kerana skim perkhidmatan terbabit tidak penting, sebaliknya ia tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun berkenaan. BIPK diwujudkan pada 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu, bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta BIPK dikekalkan. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini, turut melancarkan petisyen bagi membantah pemansuhan BIPK.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor berkata, Tun Dr Mahathir Mohammad bersetuju menangguhkan pemansuhan BIPK dengan ia dipersetujui dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri, Disember lalu. – BH Online

Leave a Reply