M Update, 18/10/2019 – Pengusaha stesen minyak bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan persekitaran premis mereka berada di tahap yang terbaik termasuk dari segi kelengkapan peralatan pemadam api supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta sekiranya berlaku kebakaran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, peranan itu perlu dikongsi bersama oleh pengguna dengan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mencetuskan kebakaran.
“Kita lihat masih ada pengguna yang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak. Ini boleh menyebabkan kebakaran seterusnya membahayakan keselamatan semua orang yang berada di premis itu,” katanya.
Mereka yang didapati merokok di kawasan stesen minyak boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin pula menyarankan pengusaha stesen minyak meletakkan iklan video berkaitan langkah-langkah keselamatan termasuk cara menggunakan alat pemadam api supaya dapat ditonton pengguna ketika sedang mengisi minyak.
“Ini kerana bukan semua orang tahu cara mengendalikannya. Perlu juga memaparkan bagaimana untuk kenal pasti bahan punca kebakaran antaranya pepejal, cairan seperti petrol dan peralatan elektrik,” katanya.
Kempen kesedaran itu merupakan program tahunan KPDNHEP bersama syarikat pengusaha minyak, dan kempen di peringkat Wilayah Kuala Lumpur tahun ini melibatkan kerjasama dengan syarikat Chevron Malaysia Limited. – Bernama