Input your search keywords and press Enter.

Pilihanraya : Disaran Tidak Dijalankan Dalam Masa Terdekat

M Update, 28/10/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan tiga larangan yang perlu diberi perhatian dan perlu dilaksanakan jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, bagi mengawal penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah larangan rentas sempadan atau pulang ke kampung; tidak boleh berkempen rumah ke rumah serta tidak boleh mengadakan perhimpunan beramai-ramai.

KKM menyarankan sebaik-baiknya pilihan raya tidak dijalankan dalam masa terdekat tetapi jika diadakan perlu mematuhi tiga larangan berkenaan. Ia berikutan keadaan jangkitan COVID-19 di Sabah ketika ini membimbangkan terutama dengan isu logistik yang perlu dihadapi KKM dalam melawan pandemik itu di negeri berkenaan.

Sekiranya ia tidak boleh dielakkan, dan perlu dijalankan, KKM perlu melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakannya dan mengurangkan risiko jangkitan. Apa yang penting ialah pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan ketika proses pilihan raya dijalankan.

KKM bimbang jika ada pilihan raya di masa hadapan jadi mereka mengesyorkan supaya ia tidak perlu diadakan. Namun, jika ia perlu dilaksanakan, mungkin boleh melihat cara lain untuk menjalankan pilihan raya itu. Ini lah tiga perkara yang mereka perlu bincangkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain kemungkinan untuk menggunakan kaedah undi pos. Bagi KKM, mereka hanya boleh memberikan cadangan.

Ada pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada akhir September lalu dan pihaknya berharap supaya ia tidak perlu diulangi di negeri lain.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, manakala 23 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal. Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu. Vui Keong, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.