M Update, 23/10/2019 – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada mangsa Taufan Habigis, yang membadai Jepun, baru-baru ini.
Tunku Azizah mengurniakan sumbangan itu pada Majlis Perjumpaan Bersama Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Jepun yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Pada majlis itu, Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja WAGGGS, turut berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan 66 ahli Pandu Puteri Jepun.
Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di sini, selepas berkenan memenuhi undangan Kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 mereka, Maharaja Naruhito di Istana Imperial, semalam.
Taufan Habigis yang membadai negara matahari terbit itu pada 12 Oktober lalu, dilaporkan mengorbankan lebih 70 mangsa.
Kejadian itu menyebabkan Kerajaan Jepun memutuskan untuk menangguhkan acara perarakan Maharaja Naruhito yang sepatutnya berlangsung selepas tamat upacara pertabalan, kepada 10 November ini.
Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan, sekaligus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian. – BERNAMA