M Update, 6/11/2019 – Mahkamah Sesyen Seremban hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran.
Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah. Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman. Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban, masing-masing pada 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.
Gunasekaran bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong. Sebelum ini Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober, atas pertuduhan tambahan.
Sementara itu, Rayer ketika bertemu dengan pemberita kemudian berterima kasih kepada pendakwa atas langkah yang diambil.
“Kami dimaklumkan pagi ini selepas tuduhan difailkan, mereka (pendakwa) telah membuat keputusan untuk menarik balik dua tuduhan. Tiada sebab diberikan,” katanya.
Beliau juga berharap langkah yang sama akan diambil oleh pihak pendakwaan di mahkamah lain. Kami berharap pihak pendakwa akan menimbang semula dan menarik balik tuduhan terhadap semua yang lain (yang ditahan di bawah Sosma yang berkaitan dengan LTTE). – HM Online