Input your search keywords and press Enter.

Hilangkan Tekanan, Seorang Pelajar Baring Dalam Kubur

Seorang pelajar berbaring dalam kubur sebagai satu cara untuk menguruskan tekanan ketika belajar, Foto Agensi

M Update, 11/11/2019 – Sebuah universiti di Belanda mempunyai kaedah luar biasa untuk membantu pelajarnya berdepan tekanan akibat peperiksaan iaitu menyediakan sebuah kubur untuk bertafakur.

Daily Mirror melaporkan, kaedah itu tular di Internet selepas seorang pelajar Universiti Radboud di bandar Nijmegen mendedahkan pendekatan unik mereka untuk menguruskan tekanan pelajar.

Menurutnya, projek pelik berkenaan sangat popular sehingga pelajar terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu untuk mendapatkan giliran baring dalam kubur berkenaan.

“Saya dan rakan serumah merancang mahu menyertainya beberapa minggu lalu dan minggu sebelumnya tetapi senarai menunggunya terlalu panjang.

“Ia agak popular dan kami belum mendapat sebarang peluang tetapi tetap akan mencubanya,” kata seorang pelajar, Sean McLaughlin.

Diperkenalkan menerusi poster kampus bertajuk ‘memento mori’ dalam bahasa Latin yang bermakna ‘ingat kematian anda’, pengalaman itu boleh ditempah sekurang-kurangnya 30 minit dan sehingga tiga jam.

Kubur dilengkapi selimut dan tikar untuk keselesaan berbaring di dalam tempat sempit itu bagi melakukan meditasi.

Pengasas projek, John Hacking berkata, kaedah kubur berkenaan bertujuan untuk menyedarkan pelajar agar menghargai nyawa dan kehidupan mereka ketika masih ada di dunia ini.

“Akhir hidup kita, kematian adalah tabu, sukar diterima pelajar kerana kematian sesuatu yang sangat sukar dibicarakan, terutamanya apabila anda berumur 18, 19 atau 20 tahun,” kata John kepada agensi berita video Ruptly.

Leave a Reply