Input your search keywords and press Enter.

Pelan Strategik Kebangsaan Tangani Perkahwinan Bawah Umur Diperingkat Akhir

M Update, 19/11/2019 – Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur kini dalam peringkat akhir penyediaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pelan mengandungi program tindakan membabitkan 61 agensi peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri itu dijangka dibentang menerusi memorandum Jemaah Menteri, hujung tahun ini. Timbalan Perdana Menteri berkata, antara langkah diambil bagi mengekang perkahwinan bawah umur ialah menerusi perundangan, selain mengenal pasti punca ia berlaku.

“Undang-undang keluarga Islam termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, berada dalam bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, sesi libat urus dilaksanakan untuk menyeragamkan umur minimum kepada 18 tahun dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri, Undang-Undang Adat dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan lain-lain dalam bentuk tatacara, kaedah dan garis panduan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun. Timbalan Perdana Menteri berkata, draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] sedang disediakan bagi menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Katanya, enakmen dan had umur minimun perkahwinan hanya boleh dipinda jika negeri bersetuju dengan cadangan berkenaan. Setakat ini, hanya Selangor yang meminda enakmen ini manakala Wilayah Persekutuan dalam proses melakukan pindaan.

“Lima negeri lain yang menyatakan persetujuan meminda perundangan adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak. Masih ada tujuh negeri tidak bersetuju meminda perundangan berkaitan iaitu di Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan,” katanya.

Bagi masyarakat bukan Islam, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tiada keperluan meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Ia berikutan undang-undang sedia ada memperuntukkan had umur minimum pendaftaran perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.

“Pengecualian hanya diberi kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar,” katanya.

Katanya, pengecualian berkenaan bagaimanapun ditangani melalui mekanisme kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik bagi permohonan perkahwinan bawah umur, berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu. – BH Online

Leave a Reply