Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Multaqa Platform Bincang Masalah Dan Masa Depan Umat Islam

M Update, 20/11/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebab umat Islam sekarang mengalami tekanan daripada pelbagai pihak dalam pelbagai arena, tanpa dapat mempertahan diri dan berjaya menangkis nasib buruk, perlu diketahui.

Perdana Menteri berkata penganjuran program multaqa, iaitu pertemuan beberapa pihak, menjadi platform membincangkan masalah dan masa depan umat Islam. Beliau berkata untuk mengenali dan memahami masalah umat Islam, perlu ada perbincangan yang mendalam dan selepas mengetahui sebabnya, cara dan jalan untuk keluar daripada pemasalahan itu dapat ditentukan.

“Apabila kita berusaha untuk menganjur multaqa sudah tentu ia kerana kita menyedari akan masalah Islam dan orang Islam yang perlu kita bincang dan cuba mencari penyelesaian,” katanya pada program Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 semalam.

Beliau berkata perbincangan dalam multaqa akan mendedahkan keadaan kehidupan orang Islam dan sebab mereka tidak makmur dan tidak ada dalam keadaan terselamat.

“Menentukan sebab adalah sebahagian daripada usaha penyelesaian masalah. Saya berdoa multaqa ini dapat mengenal pasti sebab secara ikhlas dan jujur.

“Adalah tidak rasional mengharap orang lain bertindak supaya kita dapat nikmat dan hasil. Adalah lebih rasional mengenal pasti di mana kesilapan kita,” katanya pada multaqa anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu.

Menyingkap sejarah kegemilangan tamadun Islam, Dr Mahathir berkata negara Islam dan umat Islam pada zaman itu menjadi contoh yang ingin ditiru oleh masyarakat lain dan pada satu ketika, orang Eropah telah menggunakan tamadun Islam untuk Renaissance (kelahiran semula) mereka.

Namun, selepas tamadun Islam mencapai kemuncaknya, berlaku kemerosotan dan kejatuhan tamadun berkenaan yang mengakibatkan negara Islam diserang dan jatuh ke tangan orang Barat serta menjadi jajahan takluk mereka.

“Tentulah timbul soalan kenapakah dahulu setelah puak jahiliah menerima Islam, mereka berjaya dirikan satu tamadun yang tinggi yang menguasai wilayah dari Cina di Timur hingga Sepanyol (Andalusia) di barat. “Tidak mungkinkah kita hidupkan semula tamadun ini. Tidak mungkinkah kita makmurkan semula dan hidup dalam keadaan selamat dalam kedamaian Rahmatan Lil-Alamin.

“Apakah agama Islam itu sendiri yang menjadi halangan atau apakah musuh-musuh Islam yang menghalang,” katanya.

Dr Mahathir berkata Islam bukan semata-mata satu agama satu kepercayaan, tetapi ia juga adalah satu cara hidup.

“Apakah cara hidup Islam. Sudah tentu panduan terhadap kehidupan kita sebagai orang Islam perlu berpandu kepada ajaran Islam terutama yang berada dalam al-Quran.Untuk ini kita sasarkan untuk kemakmuran dan kedamaian Rahmatan Lil-alamin,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply