M Update, 20/11/2019 – Hanya kerana terlanggar antara satu sama lain ketika berjalan menuju ke tandas, dua lelaki bergaduh sebelum seorang daripadanya ditikam pisau pemotong sayur di tingkat bawah sebuah rumah tumpangan di Lorong Prangin, Georgetown, hari ini.
Dalam kejadian 1.25 pagi itu, mangsa, lelaki warga Syria berusia 26 tahun cedera di perut, kepala dan kaki kiri akibat ditikam lelaki tempatan yang juga warga emas berusia 69 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati suspek bekerja di rumah tumpangan terbabit sejak lapan bulan lalu, manakala mangsa pula tinggal menyewa di premis berkenaan sejak lima bulan lalu. Menurutnya, saksi yang melihat kejadian itu memberitahu kedua-dua lelaki terbabit berjalan menuju ke tandas di tingkat bawah tumpangan terbabit sebelum mereka terlanggar antara satu sama lain.
“Dua lelaki terbabit kemudian bergaduh sebelum suspek terus mengambil pisau dan menikam mangsa di perut. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Soffian berkata, siasatan juga mendapati suspek sebelum ini memang berdendam dengan lelaki Syria terbabit kerana mangsa kerap lewat pulang ke rumah tumpangan terbabit.
“Sebelum ini, kedua-dua mereka kerap bertengkar kerana mangsa selalu lewat pulang ke rumah tumpangan terbabit. Suspek tidak berpuas hati dengan perbuatan mangsa itu kerana mendakwa ia mengganggunya yang mahu berehat ketika awal pagi,” katanya.
Menurutnya, polis belum mengambil keterangan daripada suspek dan mangsa kerana kedua-dua mereka masih dalam keadaan mabuk. Suspek sudah ditahan dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai 15 rekod jenayah serta empat dadah, manakala mangsa juga turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – HM Online