Input your search keywords and press Enter.

YDPA – Tolak Provokasi Agama

M Update, 04/04/2024 – Teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada semua pihak termasuk KK Mart, kedai serbaneka terpalit kontroversi menjual stoking tertera kalimah Allah supaya lebih berhati-hati terhadap produk dijual khususnya barangan import bagi mengelak berlaku penghinaan terhadap Islam adalah isyarat jelas provokasi terhadap agama adalah perkara serius dan tidak boleh dibuat main.

Sama ada penjualan stoking berkenaan disengajakan atau tidak, rentetan daripada kontroversi yang menyala ini menuntut semua pihak, Islam dan bukan Islam lebih cakna serta prihatin dalam segala urusan perniagaan atau apa juga aktiviti supaya tidak menyebabkan berlakunya penghinaan terhadap agama berlaku.

Seperti dititah Sultan Ibrahim, ‘semua pihak mesti lebih bertanggungjawab dan jangan pisang berbuah dua kali’ ia bermaksud tidak sepatutnya isu penghinaan terhadap Islam atau agama lain berlaku lagi selepas ini. Paling penting, semua pihak juga berhenti mengambil kesempatan mengapi-apikan isu berbangkit sebelum ini untuk menghasut rakyat sehingga merosak perpaduan rakyat.

Sementara itu, keputusan UMNO mengarahkan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berhenti memanaskan lagi isu stoking tertera kalimah Allah juga adalah tindakan tepat bukan sahaja menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, bahkan bagi menjamin keharmonian hidup rakyat seluruhnya.

Parti lain yang sebelum ini turut ‘tumpang semangkuk’ bersuara dalam isu stoking ini sehingga menghangatkan bara perkauman dan provokasi agama perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku serta memastikan tidak berulang pada masa depan. Sepatutnya, isu berkaitan Islam, soal kaum dan institusi Raja tidak menjadi isu selepas lebih 60 tahun Malaysia merdeka.

Setiap warganegara sepatutnya tahu batas dan sempadan harus dipatuhi serta dihormati, berlapang dada dengan takdir sejarah negara yang tercipta serta bersama-sama menjaga negara ini daripada segala macam cabaran dan berpadu memajukan negara.

Negara dan kerajaan yang memerintah hari ini mengharapkan dukungan padu daripada rakyat untuk menjayakan proses pemulihan dan pembangunan semula ekonomi susulan kejatuhan nilai ringgit, tercetusnya krisis dan peperangan sehingga menjejaskan keterjaminan makanan.

Isu berkaitan kaum, Raja dan agama (3R) seharusnya dijaga, dipelihara dan dilindungi kerana ia menjadi asas kepada keteguhan negara ini. Namun, segala usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dukungan rakyat. Sambil kita mengakui kepelbagaian yang wujud, ia sepatutnya dijadikan sebagai wadah untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum, bukan perpecahan.

Sumber : BH