Input your search keywords and press Enter.

Sultan Selangor Syor Hukuman Lebih Berat Pelaku Jenayah Seksual

M Update, 20/11/2019 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan peningkatan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor mendapati kes terbabit yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor adalah tinggi.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa bimbang terhadap masalah itu yang dilihat semakin serius dan berleluasa.

“Baginda dukacita dengan perkembangan kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan kesan negatif dan mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat di Selangor.

“Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa terbabit yang sepatutnya dilindungi oleh pelaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor mengesyorkan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual sebagai peringatan kepada masyarakat. Beliau berkata, baginda turut menitahkan jenayah seperti itu dibanteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga terbabit.

“Mengikut ajaran agama Islam, mereka yang terbabit dalam melakukan jenayah seksual ini adalah berdosa besar. Semua pihak diseru meningkatkan usaha membendung jenayah seksual ini melalui pendidikan, penguatkusaan undang-undang dan menekankan nilai agama,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual dalam negeri Selangor ini. – BH Online

Leave a Reply