M Update, 9/12/2019 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 16 Disember.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan, lawatan Al-Sultan Abdullah yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, itu melambangkan kepentingan memelihara hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan UK, terutama menguatkan jalinan antara keluarga kerabat diraja kedua-dua negara.
Di London, Seri Paduka berdua berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, Khamis ini. Keesokannya, Yang di-Pertuan Agong diberi penghormatan dan akan menerima tabik hormat pada perbarisan sempena istiadat pentauliahan diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.
Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979. Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London pada majlis santapan malam, esok.
Pasangan diraja Malaysia itu dijangka melawat Muzium dan Perpustakaan British pada Rabu ini serta mengadakan pertemuan dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby.
“(Pertemuan itu) untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kesejahteraan bersama dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama di kedua-dua negara,” kata Kementerian Luar.
Lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke UK adalah kali keempat selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun pada Jun, Julai dan Oktober lalu. – BERNAMA