M Update, 11/12/2019 – Lima wanita terpaksa menanggung derita apabila mereka mengalami simptom muntah, mual dan sakit perut selepas minum produk minuman kesihatan tiruan.
Kejadian berlaku Ahad lalu apabila semua mereka membeli produk minuman kesihatan untuk wanita itu di dua premis sekitar Bukit Jambul. Berikutan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terhadap mereka, semua wanita terbabit meninggalkan komen dalam Facebook syarikat pengeluar minuman kesihatan berkenaan.
Hasil daripada siasatan lanjut, pemilik syarikat mengesyaki yang semua mangsa membeli produk tiruan dan membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang. Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan sembilan anggota KPDNHEP negeri bersama wakil pemilik cap dagang melakukan operasi 2 petang, semalam.
Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Chin Ching Chung berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dan menyita 57 botol minuman kesihatan disyaki tiruan bernilai RM1,596.
“Kita dapati produk minuman tiruan untuk kesihatan wanita itu dijual dengan harga RM18 sebotol berbanding yang asli bernilai RM32. Pemilik premis didapati sudah setahun menjalankan perniagaan di situ dan ketika ditanya pemilik mendakwa mereka tidak tahu sama ada produk yang dijual itu palsu atau tidak,” katanya.
Ching Chung berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menghantar sampel kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi mengetahui kandungan yang ada dalam produk terbabit. Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan,” katanya.
Beliau berkata, pengguna dinasihatkan berhati-hati sekiranya ada ejen atau pemborong yang menawarkan produk pada harga terlalu murah kerana kebiasaannya produk tiruan kelihatan hampir sama dengan yang asli.
“Bagi produk tiruan yang dirampas ini, kita dapati ada beberapa perbezaan yang amat ketara dengan produk asli antaranya bau, kepekatan minuman dan juga warna bungkusan yang sedikit pudar. Selain itu, pengguna juga boleh mengenal pasti sama ada produk itu asli atau tiruan dengan menggunakan kaedah scan ‘QR Code,” katanya.
Sumber : HM Online