Input your search keywords and press Enter.

i-KeeP : Sebanyak 415 Premis Telah Diwujudkan Di Seluruh Negara

M Update, 17/12/2019 – Sebanyak 415 premis Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) termasuk satu kedai runcit bergerak ‘i-KeeP on Wheels’ telah diwujudkan di seluruh negara sehingga Disember tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu merupakan peningkatan berbanding 300 premis pada April lepas. Katanya i-KeeP kini juga mempunyai 10 rakan strategik peruncitan berbanding hanya enam pada April lepas.

“Menunjukkan inisiatif ini menguntungkan semua pihak, daripada pengguna sehingga peniaga. Selain premis di dalam kedai runcit, i-KeeP juga kini mempunyai kedai runcit bergerak di Kedah,” katanya di laman Twitter beliau, semalam.

Saifuddin menjelaskan i-KeeP juga telah melancarkan produk eksklusif seperti minyak masak jenama Lestari yang dijual pada harga RM15.99 sebotol (5kg). Katanya produk eksklusif itu hanya dibekalkan kepada rakan strategik peruncitan dan menjadi daya tarikan untuk pemain industri menyertai inisiatif i-KeeP.

Beliau berkata I-KeeP adalah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam mewujudkan bahagian khas dalam premis rakan-rakan peruncitan kementerian di mana barangan keperluan ditawarkan pada kadar antara 2 hingga 30 peratus lebih murah berbanding kedai runcit biasa.

Saifuddin berjanji kementeriannya akan terus berusaha memperbanyakkan premis i-KeeP di seluruh negara bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. i-KeeP adalah inisiatif KPDNHEP yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan. – BERNAMA

Leave a Reply