Input your search keywords and press Enter.

Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Kembali Meningkat

M Update, 20/12/2019 – Bilangan mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 2,627 orang setakat jam 10 malam tadi.

Kesemua mangsa daripada 900 keluarga itu ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tiga daerah iaitu Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), peningkatan ketara berlaku di Pasir Mas apabila kini mangsa banjir bertambah kepada 1,853 orang daripada 701 keluarga di sembilan PPS, berbanding 1,298 orang, petang tadi.

Tanah Merah merekodkan 522 mangsa daripada 131 keluarga dipindahkan di 10 PPS, manakala Jeli pula mencatatkan 252 orang daripada 68 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya dengan bacaan 10.41 meter, namun menunjukkan trend menurun.

Mengikut laporan di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, www.publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan Sungai Kelantan di Kusial masih berada di paras amaran dengan bacaan 14.33 meter, manakala Sungai Lebir di Tualang mencatatkan 27.05 meter, paras berjaga-jaga.

Bagaimanapun, Sungai Golok di Jenob, Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam yang berada di paras berjaga-jaga petang tadi, kini kembali paras normal.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply