M Update, 23/12/2019 – Pasar raya gergasi Tesco menghentikan produksi di sebuah kilang di China selepas salah satu kad Krismas keluarannya mengandungi tulisan meminta tolong daripada seorang banduan yang menghasilkannya.
Akhbar Sunday Times melaporkan seorang murid perempuan menerima kad itu pada minggu lalu dan nota terbabit dipercayai dari banduan di Penjara Qingpu Shanghai.
“Kami banduan warga asing di Penjara Qingpu Shanghai. Kami dipaksa bekerja.
“Tolong bantu kami dan memberitahu organisasi hak asasi manusia,” tulis banduan terbabit dalam kad memaparkan seekor anak kucing dalam topi Santa.
Jurucakap Tesco berkata, jualan kad Krismas yang dihasilkan dari kilang terbabit sudah ditarik balik dan kes itu dalam siasatan.
Menurut jurucakap itu, Tesco belum menemui bukti menunjukkan syarikat yang mencetakkan kad perayaan Krismas melanggar peraturan dengan menggunakan banduan sebagai pekerja.
“Kami akan menyingkirkan syarikat itu dari senarai pembekal sekiranya terdapat bukti mengenainya,” katanya.