Input your search keywords and press Enter.

Penunggang Motosikal, Pengguna Pengangkutan Awam Dibenarkan Rentas Negeri – Polis

M Update, 8/5/2020 – Polis membuat keputusan membenarkan penunggang motosikal dan pengguna pengangkutan awam membuat pergerakan antara negeri bermula semalam hingga 10 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata keputusan itu dibuat susulan pertimbangan dan kajian pergerakan laluan di sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan sehingga kini yang didapati berjalan lancar.

“Polis membuat keputusan membenarkan pergerakan antara negeri menggunakan pengangkutan darat yang mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa dan kepada penunggang motosikal.

“Namun, adalah diingatkan bahawa orang awam yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau penunggang motosikal hendaklah mendapatkan kelulusan pergerakan antara negeri daripada polis menggunakan aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.

“Begitu juga syarikat pengangkutan awam pula perlu mempunyai permit sah dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, pergerakan dalam tempoh itu ditetapkan polis dengan perjalanan hari ini hanya membabitkan mereka yang terkandas di Kuala Lumpur pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.

“Hari ini untuk individu dari Perak, Johor dan Kelantan manakala lusa membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Ahad ini babit perjalanan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

“Kebenaran pergerakan antara negeri hanya untuk orang ramai yang terkandas di kampung yang mahu pulang ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik kerja sahaja,” katanya.

Huzir menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengamalkan penjarakan sosial sepanjang masa bagi mengawal penularan COVID-19. – BH Online

Leave a Reply