Input your search keywords and press Enter.

Mek Kebaya Kena Saman Tunggang RX-Z

M Update, 17/03/2021 – “Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saman dikeluarkan terhadap Instafamous dari Dungun yang melanggar peraturan jalan raya ketika merakam aksi menunggang RX-Z di media sosial baru-baru ini. Video berdurasi 14 saat itu memaparkan wanita berkenaan yang berpakaian baju kebaya merah mempamerkan kecekapannya menunggang RX-Z di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun.

Zulkarnain berkata, pihaknya sudah memanggil wanita berkenaan dan dia mengakui kesilapannya sebelum menjelaskan denda bagi dua kesalahan iaitu tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi sebanyak RM370. JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.

“Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan. Walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 bagi setiap satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini. Menurutnya, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri untuk memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya di media sosial. Jika ada gambar atau video dan bukti yang jelas, kami akan mengambil tindakan oleh itu pengguna jalan raya perlu sentiasa peka dan mematuhi undang-undang,” katanya. – HM Online