Input your search keywords and press Enter.

40 Anggota Bomba Dihantar Bantu Padam Kebakaran Di Australia

M Update, 13/1/2020 – Seramai 40 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ditugaskan membantu memadam kebakaran hutan di Australia dijangka bertolak ke negara itu pada Rabu ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kesemua anggota berkenaan bersama 20 lagi individu daripada agensi kerajaan yang lain akan dihantar ke lokasi kebakaran di New South Wales.

“Kami tidak menghantar aset tetapi bantuan anggota kerana mereka memerlukan bantuan dari segi tenaga kerja untuk mengawal api supaya tidak merebak.

“JBPM juga akan memberi khidmat nasihat berdasarkan kepakaran dan pengalaman bersama pasukan penyelamat Australia agar dapat mengawal api,” katanya.

Bagaimanapun, Zuraida berkata tempoh masa semua anggota berkenaan berada di negara itu belum diketahui setakat ini. 7 Jan lepas, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid dilaporkan berkata seramai 40 anggota dikenal pasti bagi menyertai bantuan itu selepas pihaknya mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah serta jutaan haiwan terkorban apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah. – BERNAMA

Leave a Reply