Input your search keywords and press Enter.

Wang Simpanan RM 265,368 Warga Emas Lesap

M Update, 13/1/2020 – Lelaki berusia 78 tahun kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa dia terbabit dalam kes pemalsuan kad kredit di Sabah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa hanya menyedari kehilangan wang sebanyak RM265,368 selepas mengemaskini dua akaun banknya di Batu Gajah dan Pusing pada 7 Januari lalu.

Katanya, mangsa diperdaya melalui panggilan telefon yang diterima daripada seorang lelaki kononnya dia terbabit dalam aktiviti pemalsuan kad kredit di Sabah sehingga menyebabkan pengadu menyerahkan dua kad mesin pengeluaran automatik (ATM) kepada suspek di Tanjung Tualang.

Ahmad Adnan berkata, kali pertama mangsa menerima panggilan telefon kira-kira 4 petang pada 19 Disember lalu di kediamannya di Sungai Durian, Tanjung Tualang, daripada seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Mangsa menyimpan duit di dua bank hasil pemberian anak-anaknya setiap bulan dan deposit tetap miliknya sendiri yang disimpan sejak 20 tahun dulu.

“Suspek bercakap melalui telefon dengan pengadu dalam bahasa Mandarin loghat dari negara China dan mengatakan ada barang daripada pejabat pos Kota Kinabalu, yang dikirimkan kepada pengadu dan mendakwa polis Sabah menyita barang itu dan mendapati terdapat banyak kad kredit palsu.

“Pengadu menerima panggilan daripada nombor telefon +89082245522 yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Wong bertanyakan jumlah wang dan akaun pengadu miliki serta mengarahkan mangsa memindahkan semua wang bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengadu diminta membuat kad ATM bagi setiap akaun yang ada memandangkan pengadu tidak pernah membuat kad ATM sebelum ini dan hanya berurusan melalui buku akaun saja. Katanya, pengadu kemudian membuat kad ATM pada 27 Disember lalu dan memindahkan wang sebanyak RM177,174 melalui akaun deposit tetap ke akaun miliknya sendiri. Mangsa juga membuat pindahan wang dari akaun deposit tetap miliknya di sebuah lagi bank ke akaun miliknya sebanyak RM89,398.

“Kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama, mangsa diarahkan meletakkan kad ATM yang baru dibuat di sebuah kereta warna merah yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya di pekan Tanjung Tualang dan pengadu kemudian diarahkan untuk pergi dari tempat itu,” katanya.

Katanya, siasatan polis mendapati kemungkinan suspek menggunakan orang tempatan untuk mengambil kedua-dua kad ATM mangsa di lokasi kejadian dan semua wang dikeluarkan membabitkan empat transaksi pada 3 Januari membabitkan kerugian sebanyak RM89,370.40 manakala 20 transaksi pengeluaran tunai dan pindahan di satu lagi akaun antara 30 Disember hingga 3 Januari membabitkan jumlah RM175,998.38.

Ahmad Adnan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan modus operandi yang digunakan oleh sindiket Macau Scam yang ketika ini kerap kali dilaporkan. – HM Online

Leave a Reply