M Update, 13/1/2020 – Orang ramai yang sukar mendapatkan vaksin virus Influenza di hospital dan klinik swasta negeri ini dinasihatkan datang ke klinik dan hospital kerajaan.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pemberian vaksin itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan doktor kerajaan biarpun mempunyai stok mencukupi. Menurutnya, dia sedia maklum berhubung masalah dihadapi klinik dan hospital swasta di negeri ini yang didakwa kehabisan stok vaksin virus Influenza sehingga tular dan menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
“Memang kita ada dapat maklumat (ketiadaan stok vaksin influenza) daripada klinik swasta kerana mereka pun di luar dari kawalan kita. Saya fikir untuk klinik kerajaan biasanya kita akan pastikan semua itu (vaksin) mencukupi.
“Sebenarnya untuk keperluan vaksin, mereka (rakyat) boleh mendapatkannya dari klinik dan hospital kerajaan namun bergantung kepada nasihat doktor,” katanya selepas menyambut ketibaan pelancong dari Eropah ke Melaka di Jeti Marina, Kota Laksamana, Melaka, hari ini.
Sejak semalam, media sosial ditularkan dengan kebimbangan orang ramai yang mendakwa sukar mendapatkan vaksin Influenza A susulan kehabisan stok vaksin di hospital dan klinik swasta di negeri ini. Influenza boleh dijangkiti melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung. Orang ramai yang berada di sekitarnya mudah mendapat virus yang disebarkan apabila seseorang batuk atau bersin.
Virus itu juga mudah merebak melalui tangan tercemar apabila individu yang sudah dijangkiti bersentuhan dengan orang lain.
Simptom influenza dikesan apabila seseorang demam tinggi (38 Celcius), lesu melampau, batuk, sakit tekak dan otot, selain sakit perut, sakit dada dan cirit-birit. Kumpulan berisiko adalah kanak-kanak mengalami asma, warga emas berpenyakit kronik dan ibu hamil.
Vaksin influenza boleh didapati di semua klinik dan hospital swasta bagi mengelak jangkitan. – HM Online