Input your search keywords and press Enter.

Peruntukan RM100 Juta Buat Sekolah Tahfiz, Agama Rakyat Dan Pondok

M Update, 16/1/2020 – Kementerian Kewangan semalam menyerahkan peruntukan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyerahkan replika cek berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Kementerian Kewangan semalam.

Daripada jumlah RM100 juta itu, Guang Eng berkata sekolah tahfiz akan menerima RM50 juta sementara sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok yang berdaftar masing-masing akan menerima RM25 juta.

“Peruntukan tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding dengan peruntukan oleh kerajaan terdahulu dalam Bajet 2018 yang tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah agama rakyat dan sekolah pondok,” katanya.

Lim berkata peruntukan RM100 juta berkenaan adalah komitmen berterusan kerajaan Persekutuan untuk memastikan para pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa di sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok yang berdaftar. Penyerahan peruntukan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019.

Lim berkata penyaluran peruntukan kepada sekolah-sekolah berkenaan secara sekaligus pada awal tahun dan bukan secara berperingkat adalah selaras dengan pendekatan kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan dan menambah baik sistem penyampaian awam bagi tahun 2020.

Peruntukan RM100 juta tersebut merupakan sebahagian daripada RM735 juta untuk penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2020 yang merupakan peningkatan ketara berbanding dengan jumlah RM652 juta bagi tahun 2019, kata beliau. Sementara itu, Mujahid berkata pada masa ini terdapat 205 institusi pondok, 1,026 sekolah tahfiz dan 1,880 sekolah agama negeri, rakyat, swasta dan persekutuan dalam data pihaknya.

“Syarat paling utama dan kelayakan untuk terima bantuan adalah berdaftar dengan Majlis Agama Islam di negeri masing-masing. Institusi yang belum berdaftar digalakkan mendaftar untuk melayakkan mereka mendapatkan bantuan,” katanya.

Mujahid berkata pihaknya akan melihat permohonan semua institusi mulai bulan depan dan pelaksanaan pemberian peruntukan dijangka seawal Mac dan April, dengan tempoh pengagihan dijangka sehingga Oktober. _ Bernama

Leave a Reply