M Update, 17/1/2020 – “Luluh hati melihat sahabat baik hilang dibawa arus sungai di depan mata, saya cuba membantu, namun tidak berjaya,” kata Mohamad Nazmi Md Nadzam, 19.
Rakannya, Ahmad Zawawi Mohamad, 19, ditemui lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Pulau Melaka, di sini, pagi tadi.
Mohamad Nazmi berkata, dia bersama mangsa dan tiga lagi sahabat perempuan mula berkayak pada jam 9 pagi ke sebuah pulau berdekatan kerana rancangan beriadah itu sudah dirancang beberapa minggu lalu.
“Hari ini semua ada masa terluang, jadi kami berpakat untuk berkayak. Pada awalnya, semua berjalan lancar, malah arwah juga kelihatan teruja, namun sedikit diam berbanding biasa.
“Selepas kami berkayak ke pulau berdekatan, arwah mengajak mandi sungai, namun saya menolak kerana tidak membawa pakaian mandi. Jadi, dia turun sendiri ke sungai, manakala saya dan sahabat lain hanya memerhati dari jauh.
“Tidak lama kemudian, dia seperti terkapai-kapai lemas, saya segera mengambil kayak untuk ke tempatnya dan membaling jaket keselamatan. Malangnya, dia tidak dapat mencapainya dan terus tenggelam dalam sungai,” katanya ketika menunggu mayat sahabatnya yang baru ditemui bomba, hari ini.
Mohamad Nazmi berkata, dia terkejut kerana kehilangan sahabat baik sejak Tingkatan Satu ketika bersekolah di Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Lelaki, di sini, dan sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala tiga lagi rakan lain adalah kenalan ketika menjadi fasilitator dalam sebuah program.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata 10 anggota polis, 13 anggota bomba dan empat wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbabit dalam misi mencari dan menyelamat mangsa lemas yang dimulakan pada jam 10.15 pagi semalam.
Mangsa ditemui 15 minit kemudian oleh anggota bomba pada jarak 30 meter dari tempat dia dipercayai mandi dengan kedalaman air kira-kira empat meter. Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat,” katanya.