Input your search keywords and press Enter.

Diskaun Kompaun Trafik DBKL Hanya RM15 Bermula Esok

M Update, 31/1/2020 – Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif memberikan diskaun bagi kompaun trafik DBKL menerusi kadar khas yang ditawarkan dalam tempoh 32 hari bermula esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, menerusi diskaun itu, kompaun trafik yang dibayar sepanjang 1 Februari hingga 3 Mac depan ditawarkan pada kadar RM15 setiap notis membabitkan kenderaan jenis motosikal, kereta serta kenderaan berat seperti lori dan bas.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) sudah bersetuju untuk memberikan tawaran kadar khas ini kepada warga kota. “Ia bertujuan membolehkan pesalah lalu lintas membuat penyelesaian terhadap notis kompaun yang masih belum dijelaskan bagi mengelak tindakan senarai hitam diambil terhadap mereka.

“Tawaran ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada kesalahan lalu lintas, tidak termasuk kes yang sudah dibawa ke mahkamah dengan status (U & M) serta kes senarai hitam berstatus (M),” katanya.

Khairul Azmir berkata, DBKL ketika ini sudah membawa sebanyak 107,547 kes ke mahkamah membabitkan notis kompaun yang masih tidak dijelaskan pesalah lalu lintas. Sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 4,914 kes sudah disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Orang ramai boleh menikmati kadar khas ini dengan membuat pembayaran atau menyemak menerusi semua kaunter bayaran DBKL serta kaunter Pos Malaysia di seluruh negara. Semakan dan bayaran juga boleh dibuat secara atas talian melalui aplikasi Mobis yang boleh dimuat turun menerusi App Store/Play Store atau melalui portal MyEG di www.myeg.com.my

Leave a Reply