M Update, 31/1/2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong keputusan kabinet yang ingin meminda undang-undang dan mengenakan hukuman berat kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya yakin hukuman terhadap pemandu berkenaan perlu ditingkatkan dan ditangani dengan baik.
“Jika dilihat di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain mereka mengambil isu itu dengan begitu serius, mengapa kita tidak ambil pendekatan sama?
“Saya sokong sepenuhnya keputusan Kementerian Pengangkutan untuk memperketat undang-undang terbabit dengan menambah hukuman,” katanya.
Mengulas berhubung cadangan hukuman penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang melanggar mati pengguna jalan raya, Abdul Hamid berkata, perkara itu biar dibincangkan di Parlimen.
“Jika ada cadangan itu, biarlah ahli parlimen sendiri berdebat selepas mendapat nasihat pakar dan agensi berkaitan yang memberi input. Bagi kami, PDRM tetap yakin bahawa hukuman itu harus dipertingkatkan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media kelmarin dilaporkan berkata, tiga seksyen mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman lebih berat.
Anthony berkata, kementeriannya akan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk PDRM, Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai. – HM Online