Input your search keywords and press Enter.

Nadma Siap Sedia Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Wuhan

M Update, 31/1/2020 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah bersiap sedia untuk membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan, China susulan wabak 2019 novel koronavirus di sana.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata keputusan itu dibuat Kabinet semalam, yang memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat di sana memandangkan situasi penyakit itu masih belum melegakan. Katanya mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat komersial secepat mungkin, namun pengumuman tarikh dan penerbangan yang boleh digunakan hanya dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan.

“Pesawat itu juga akan membawa pasukan perubatan dan mereka (yang dibawa pulang) akan diperiksa di China sebelum sekali lagi diperiksa setibanya di Malaysia yang jika perlu, akan dikuarantin untuk beberapa ketika sebelum dilepaskan.

“Buat masa ini, Kementerian Luar sedang berbincang dengan Kementerian Luar China mengenai beberapa perkara sebelum proses membawa keluar dimulakan kerana seperti diketahui kawasan itu sudah ditutup,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan China dilihat akan memberikan kerjasama yang baik kepada usaha membawa pulang rakyat Malaysia, seperti dilakukan negara itu kepada Jepun dan beberapa negara yang mahu membawa keluar rakyat mereka. Beliau menjelaskan rakyat Malaysia di China ialah seramai 35,000 orang dengan di Hubei seramai 115 orang.

“Walaupun terdapat 115 orang di Hubei, namun hanya 80 yang berada di Wuhan kerana mereka yang lain sudah pulang bercuti di Malaysia, selain ada yang bercuti di wilayah lain di China,” katanya.

Saifuddin menjelaskan Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah membuka bilik operasi 24 jam sejak seminggu yang lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di China. Beliau berkata sebagai tanda solidariti kepada China, Malaysia akan menghantar bantuan 10 juta sarung tangan getah yang diperlukan petugas perubatan di sana. – BERNAMA

Leave a Reply