Input your search keywords and press Enter.

Panglima Angkatan Tentera Thailand Mohon Maaf

M Update, 11/02/2020 – Panglima Angkatan Tentera Thailand memohon maaf kepada 29 keluarga kepada mangsa maut susulan insiden tembakan rambang dilakukan anggotanya di pusat beli-belah Terminal 21, di bandar Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand, Sabtu lalu.

Jeneral Apirat Kongsompong turut menitiskan air mata ketika menceritakan semula kejadian turut mencederakan 57 individu.

Menurutnya, sebagai Panglima Angkatan Bersenjata di Thailand, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan sebaik tembakan dilepaskan suspek, dia sudah dianggap penjenayah.

“Saya memohon maaf atas insiden yang berlaku disebabkan anggota tentera. Dia dianggap penjenayah dan bukan lagi sebagai seorang tentera apabila tembakan dilepaskan.

“Warga Thailand sudah pasti tidak menyukai apa yang berlaku dan berharap orang ramai juga tidak terus menyalahkan angkatan tentera dengan apa yang berlaku,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Suspek, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma akhirnya ditembak mati pasukan penembak khas pada Ahad selepas menggemparkan pusat beli-belah itu dengan melepaskan tembakan rambang.

Lelaki berusia 32 tahun itu mula melepaskan tembakan yang turut meragut nyawa pegawai pemerintah dan ibu mentua seorang komander disebabkan tidak berpuas hati dengan masalah perniagaan.

Dia kemudiannya memandu ke sebuah kem tentera dan melarikan senjata api dan bahan letupan sebelum bergerak ke pusat beli-belah Terminal 21 dan seterusnya melepaskan tembakan.

Suspek juga memuat naik hantaran di Facebook, ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain untuk melepaskan tembakan dan kejadian mencetuskan panik apabila pengunjung pusat beli-belah itu panik dan lari bertempiaran untuk keluar.

Leave a Reply