Input your search keywords and press Enter.

6 Lagi Penumpang MS Westerdam Negatif Covid-19

M Update, 17/2/2020 – Enam penumpang kapal persiaran Westerdam yang kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disahkan negatif jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia susulan keputusan ujian pengesanan COVID-19 yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semalam. Enam penumpang itu masing-masing empat warga Amerika Syarikat (AS), manakala bakinya ialah rakyat Belanda.

“Mereka kini berada di KLIA untuk menaiki penerbangan selanjutnya dan berada dalam keadaan sihat. “Pihak kedutaan berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan ujian ini dan mereka akan dibenarkan untuk menaiki penerbangan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung baki enam penumpang kapal persiaran Westerdam yang kini di KLIA untuk menaiki penerbangan ke destinasi akhir masing-masing.

Terdahulu, syarikat penerbangan, Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) membatalkan baki tiga lagi penerbangan sewa khas untuk membawa keluar warga AS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja, susulan seorang penumpang kapal persiaran Westerdam disahkan positif COVID-19, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata sebelum ini Malaysia Airlines disewa Syarikat Kapal Persiaran Hollan American Line di Kuala Lumpur untuk membawa sebahagian daripada penumpang kapal persiaran itu ke pelbagai destinasi akhir mereka melalui KLIA.

Katanya, mengikut perancangan Malaysia Airlines akan menyediakan empat penerbangan sewa khas bermula pada 14 Februari lalu hingga hari ini dengan hanya satu penerbangan membawa 145 penumpang mendarat di KLIA pada jam 7 petang, kelmarin. – BH Online

Leave a Reply