Input your search keywords and press Enter.

Kekalkan Perpaduan, Keamanan Negara – TPM

M Update, 17/2/2020 – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan perpaduan serta keamanan negara tidak boleh dipandang remeh dan perlu sentiasa dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keharmonian dalam kalangan rakyat menggambarkan kesatuan yang dibangunkan atas kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan budaya. Di sebalik perbezaan agama, kaum, budaya dan bahasa, katanya, rakyat negara ini sebenarnya berkongsi pelbagai nilai yang dimiliki bersama.

“Mudah untuk mengamalkan mentaliti sekawan iaitu kita dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk mempraktikkan tingkah laku mereka berdasarkan emosi daripada asas rasional.

“Namun ia berbahaya kerana kita dapat dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Pandan di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, rakyat tidak boleh membenarkan mereka yang mempunyai agenda tersendiri menyemarakkan sentimen perkauman di negara ini. Beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus menjaga kebersihan dengan menjadikan amalan menggunakan ‘sanitizer’ dalam rutin harian susulan penularan COVID-19.

“Kita menghadapi banyak cabaran, cabaran yang menjadi masalah dan isu penting adalah berkenaan COVID-19.

“Saya harap kita menjaga kebersihan. Sebab itu disediakan sanitizer supaya kita tidak menyebarkan kuman. Ini sepatutnya menjadi amalan. Dengan peringatan itu saya berharap semua sihat-sihat belaka menjalani Tahun Tikus (sempena Tahun Baharu Cina 2020) dengan lebih baik,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply