M Update, 17/2/2020 – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan tular mengenai terjadinya kes Covid-19 di Klinik Kesihatan Chaah, Segamat.
JKNJ menerusi kenyataan berkata, berita terbabit adalah tidak benar, selain meminta orang awam supaya tidak menyebarkan kenyataan yang tidak sahih.
Pengarahnya, Dr Aman Rabu berkata, pihaknya mengingatkan penyebaran berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.
“Ia turut akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Semalam tular satu kenyataan di aplikasi WhatsApp berhubung berlakunya Covid-19 di klinik itu yang berpunca daripada penutupannya selama beberapa jam. Katanya, penutupan sementara operasi klinik itu tiada kaitannya dengan seorang pelajar lelaki tempatan berusia 20 tahun pulang bercuti dari China ke kediamannya di Chaah, Segamat pada 9 Januari, lalu.
“Pelajar itu sepatutnya pulang semula ke China pada 14 Februari lalu, namun menangguhkannya kerana mengalami demam biasa. Pelajar itu datang ke klinik pada 11 pagi, semalam dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ia tidak mengalami sebarang tanda simptom jangkitan Covid-19 sebelum diberikan ubatan demam biasa dan dibenarkan pulang.
“Malah, lokasi kolej pelajar itu di China sejauh kira-kira 3,000 kilometer dari Wuhan, Hubei yang teruk terkesan dengan penularan wabak itu,” katanya.
Beliau berkata, jika pelajar itu dijangkiti wabak itu tentunya telah timbul gejala wabak itu sedangkan tempohnya menetap di sini sejak tarikh kepulangannya sudah melebihi 15 hari. Katanya, ketika itu terdapat seramai 20 orang awam yang sedang menunggu rawatan dan pemeriksaan di dalam bangunan klinik.
“Prosedur biasa kakitangan melakukan pembersihan persekitaran klinik dengan penyemburan antikuman sebagai langkah berjaga-jaga selain meletakkan tali rintangan plastik merah putih tanda penutupan sementara di luar lokasi bangunan.
“Penyemburan antikuman dilakukan di bahagian lantai mulai 12 tengah hari dan klinik beroperasi semula seperti biasa pada 2 petang,” katanya.
Sumber : HM Online