Input your search keywords and press Enter.

Tiada Had Tempoh Jawatan PM Interim – Peguam Negara

M Update, 25/2/2020 – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berkata tiada had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri interim, untuk menggunakan kuasa budi bicaranya bagi melantik Menteri Kabinet yang baharu.

Beliau berkata, walaupun berstatus interim, Perdana Menteri memiliki semua kuasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, termasuklah untuk melantik atau tidak melantik anggota Kabinet.

Oleh kerana Dewan Rakyat bersidang mulai 9 Mac ini, suatu usul undi percaya boleh digerakkan terhadap beliau atau sesiapa sahaja.

“Tiada had tempoh untuk Perdana Menteri interim. Oleh yang demikian adalah salah untuk menyatakan (tempohnya) selama 10 hari atau waktu lain yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan sebuah portal semalam.

Petang tadi, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim. Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik untuk mengangkat sumpah jawatan, mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan untuk membatalkan semua pelantikan menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, selaras peletakan jawatan oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa semalam. – BH Online

Leave a Reply