Input your search keywords and press Enter.

Adib alami kecederaan serius pada paru-paru

M Update, 21/2/2019 – Saksi ke-12 inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim memaklumkan bahawa anggota bomba tersebut mengalami kecederaan serius pada bahagian paru-parunya dan lebam di dada ketika tiba di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 27 November lalu.

Doktor Bahagian Kecemasan SJMC, Dr. M. Nantha Kumaran, 39, berkata, ketika bertugas pada malam tersebut, Muhammad Adib tiba dalam keadaan hanya memakai seluar bomba dan tidak memakai baju, kasut dan stokin.

Katanya, keadaan Muhammad Adib pada masa itu tidak sedarkan diri, sukar bernafas dan mengeluarkan bunyi yang sukar difahami, dengan paras oksigen di bawah 48 peratus sedangkan paras normal adalah di atas 95 serta kelajuan nadi 145 denyutan perminit.

“Saya telah menghubungi doktor bahagian terapi kesan radiasi (xray), pakar bedah kardiostatik, anestetik. Selepas itu, saya menyentuh dada kanan dia dan terdengar bunyi retakan dan ada kepatahan seperti pneumotoraks.

“Xray dilakukan di bilik rawatan zon merah kerana keadaannya tidak stabil untuk dibawa ke bilik xray. Ketika xray dilakukan, saya ternampak sekeliling tulang rusuknya berwarna putih berbanding hitam jika dalam keadaan normal dan kelihatan empat tulang rusuk kanannya retak.

“Saya memang tidak dapat berkomunikasi dengan pesakit (Muhammad Adib) kerana dia hanya mengeluarkan bunyi sahaja selain tahap kesedarannya pada paras rendah,” katanya.

Sumber : UTUSAN ONLINE

Leave a Reply