Input your search keywords and press Enter.

Agong Tentukan Skop Kuasa Perdana Menteri Interim

M Update, 26/2/2020 – Skop kuasa Perdana Menteri Interim tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa asas sebagai ketua utama negara.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Perdana Menteri Interim dilantik berteraskan kuasa Yang di-Pertuan Agong secara umum di bawah Perkara 32 (1) dan Perkara 39.

Menurutnya, Perdana Menteri Interim tidak mempunyai kuasa seperti Perdana Menteri biasa yang dilantik di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan kenyataan tersebut, peranan Perdana Menteri Interim ini adalah terhad kepada dua fungsi, iaitu menguruskan pentadbiran negara.

“Dalam hal ini, skop kuasa Perdana Menteri Interim hampir serupa dengan skop kuasa kerajaan sementara yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan dan membantu bagi melancarkan proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, perkataan interim bermaksud sementara, oleh itu, ia sudah tentu tertakluk kepada skop kuasa yang dihadkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada arahan baginda dari masa ke masa. Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, dalam pelantikan Perdana Menteri baharu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara yang mutlak.

Katanya, ia berdasarkan Perkara 40 (2) yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu (a) melantik seorang Perdana Menteri, (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen dan Perkara 43 (2) (b) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Istilah Perdana Menteri Interim tidak ada dalam Perlembagaan.

“Oleh itu, pendefinisian fungsi dan skop kuasa Perdana Menteri Interim perlu merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang melantik Perdana Menteri Interim, kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, pelantikan Perdana Menteri Interim berlaku setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, bagaimanapun, baginda berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri baharu selaras dengan Perkara 43 (2) (a).

Kata Mohd Zuki, selaku Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet baharu dibentuk. – SH Online

Leave a Reply