M Update, 02/03/2020 – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan semalam.
“Telah bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengucapkan tahniah kepada beliau,” ciapnya di Twitter.
“Saya yakin hubungan yang sudah lama wujud dan kepelbagaian antara Singapura dan Malaysia akan terus berkembang di bawah kepemimpinannya dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Lee dalam catatan di Facebook berkata kali pertama beliau bertemu Muhyiddin pada 1985.
“Saya mengiringi Dr Tony Tan, yang ketika itu adalah Menteri Perdagangan dan Perusahaan, ke KL (Kuala Lumpur) untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN. Muhyiddin ketika itu adalah Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan beliau menyambut kami di lapangan terbang.
“Sejak itu, kami mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama dengan beliau (Muhyiddin), kedua-duanya di peringkat Persekutuan dalam pelbagai jawatan Kabinetnya dan ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Johor,” catat beliau.
Perdana Menteri Lee turut mempelawa Muhyiddin melawat Singapura dan amat mengalu-alukan pertemuan itu.
“Banyak perkara yang akan kita bincangkan terutama dalam persekitaran global yang mencabar ini,” katanya dan mengakhiri catatan itu dengan singkatan namanya, LHL. – BERNAMA