Input your search keywords and press Enter.

Calon SPM Belum Sesuai Untuk Divaksin

M Update, 15/07/2021 – Kerajaan tidak akan memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah termasuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat masa ini.

Ini berikutan vaksin tersebut didapati berisiko mencetuskan radang jantung kepada remaja berusia bawah 17 tahun. Vaksin Covid-19 akan diberikan kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada bulan ini kerana golongan tersebut telah mencapai umur yang boleh menerima vaksin . – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba

Menurut beliau, kerajaan mengambil pendirian tidak meneruskan hasrat memberi vaksin kepada calon SPM atau remaja bawah 17 tahun setelah meneliti laporan berhubung kes myocarditis dan pericarditis atau radang jantung yang berlaku selepas seseorang itu mengambil dos kedua suntikan vaksin. Kata beliau, kebanyakan kes tersebut pula didapati lebih banyak menyerang golongan lelaki yang berusia lebih muda terutamanya kalangan remaja.

Adham memberitahu, walaupun kes radang jantung jarang berlaku tetapi kerajaan perlu menunggu perkembangan terbaharu risiko tersebut daripada pihak pengeluar semua vaksin sebelum membuat keputusan selanjutnya.

“Remaja 17 tahun belum boleh dapat vaksin lagi sebab ada kes jarang-jarang berlaku iaitu myocarditis dan pericarditis, jadi, pakar perubatan menasihatkan untuk tidak memberikan vaksin kepada kumpulan itu buat masa ini. Kita akan pertimbangkan semula setelah kita dapat data terbaharu daripada pihak pengeluar vaksin.

Adham berkata, semua pelajar boleh kembali ke sekolah jika semua kakitangan sudah divaksinasi tetapi kena terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekolah boleh dibuka selepas suntikan vaksin diberikan kepada semua guru dan kakitangan sekolah, sebab mereka melindungi sekeliling sekolah. Tetapi mereka tetap perlu patuh kepada SOP dan kita tidak boleh leka. Jadi, kita sasarkan semua guru-guru dan kakitangan sekolah selesai suntikan vaksin pada bulan ini dan kami akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan bila tarikh yang sesuai untuk pelajar masuk semula sekolah secara fizikal,” katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin turut bersetuju agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin seperti yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF)

Sementara itu, pemberian vaksin COVID-19 kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan dipercepat, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

“Mengikut perancangan kita, pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan STPM akan disegerakan pemberian vaksin mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengeluarkan garis panduan untuk golongan yang berumur 18 tahun mendapatkan vaksinasi COVID-19.

“Walaupun tarikh lahir di kad pengenalan masih belum cukup 18 tahun tetapi dari segi tahun sudah berumur 18 tahun, mereka akan menerima vaksin dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, BH Online