Input your search keywords and press Enter.

Pengusaha hotel di Cameron Highland hadapi waktu sukar

M Update 24/1/2019 – Kewujudan homestay tidak berdaftar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di Cameron Highlands menyebabkan industri perhotelan di pusat pelancongan itu mengalami sedikit penurunan dari segi tempahan bilik hotel. Ini ditambah pula dengan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak stabil turut memberi kesan kepada rakyat untuk keluar melancong walaupun di dalam negara.

Lambakan homestay haram ini secara tidak langsung dapat mengugat keadaan ekonomi pengusaha hotel yang terpaksa memberhentikan beberapa pekerja bagi mengurangkan kos operasi. Homestay haram ini juga mengenakan harga bilik jauh lebih murah daripada hotel menyebabkan pengusaha terpaksa menurunkan harga bilik dibawah harga pasaran bagi memastikan survival perniagaan mereka. Selain itu, kebanyakan pengunjung lebih suka memilih homestay kerana dilihat boleh menampung kapasiti yang ramai, luas dan selesa berbanding hotel.   

Kewujudan homestay haram ini dilihat tidak adil bagi pengusaha hotel kerana mereka tidak dikenakan cukai bayaran SST dan jika diambil ambil kira jumlah cukai yang tidak dibayar kepada kerajaan mungkin berjumlah jutaan ringgit setahun serta menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dari segi pungutan cukai. Walaupun GST telah dimansuhkan dan ditukar kepada SST, harga bilik masih mengalami peningkatan.

Pengusaha-pengusaha hotel di Cameron Highlands berharap kerajaan memandang serius perkara ini bagi mengelakkan pengusaha hotel terpaksa gulung tikar. Terdapat beberapa syor yang diberikan oleh pengusaha hotel antaranya ialah menyelaraskan harga syiling bagi setiap bilik hotel mengikut lokasi tumpuan dan rating hotel. Selain itu, mereka mahu kerajaan memberi bantuan dari segi latihan dan peruntukan untuk disalurkan kepada masyarakat setempat dalam usaha memberi peluang kepada mereka menjana ekonomi setempat.

Mereka juga mahukan promosi hotel diperhebatkan lagi melalui pelbagai medium terutamanya menggunakan medium media sosial oleh semua pihak samada pihak kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan supaya rakyat lebih memilih hotel berbanding homestay. Kerajaan juga disaran mempromosikan Cameron Highland ke luar negara dengan mengadakan pelbagai program yang boleh menarik pelancong untuk datang ke sini.

Sebagai kesimpulannya, pengusaha hotel di Cameron Highland menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi membendung masalah ini dari terus berlarutan serta berkemungkinan besar boleh menyebabkan mereka gulung tikar akibat lambakan homestay tidak berdaftar ini.


Leave a Reply