Input your search keywords and press Enter.

Pengasuh Disyaki Dibunuh Patah Tulang Tengkuk

M Update, 9/3/2020 – Pengasuh yang ditemui mati disyaki dibunuh di Taman Sutera Idaman, Sungai Petani, semalam mengalami patah tulang tengkuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, penemuan itu diperoleh berdasarkan laporan bedah siasat. Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa, Haziah Yeap Osman, 58, turut mendapati terdapat kecederaan sekitar bibir, mulut, dagu dan hadapan leher mangsa.

“Pemeriksaan dalaman pun mendapati ada pendarahan pada otot leher mangsa serta patah tulang tengkuk, selain lebam pada hadapan pangkal paha kiri dan kanan. “Kesemua kecederaan ini pada kebiasaannya tidak boleh dihasilkan sendiri oleh mangsa dan kemungkinan besar dilakukan oleh orang lain terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati wanita terbabit meninggal dunia dalam tempoh tidak melebihi 24 jam. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan mayat pengasuh kanak-kanak terbabit ditemui di rumahnya dengan keadaan tangan terikat di belakang menggunakan wayar pengecas telefon dan mulut ditutup dengan kain. Kejadian disedari oleh bapa anak asuhannya selepas wanita itu tidak menyahut panggilan lelaki berkenaan ketika ingin menghantar anaknya ke rumah mangsa. – HM Online

Leave a Reply