Input your search keywords and press Enter.

Sultan Terengganu Mahu Rakyat Tingkatkan Amalan Sepanjang Ramadan

M Update, 22/4/2020 – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam mempertingkatkan amalan sepanjang Ramadan ketika dunia bergelut dengan wabak COVID-19.

Sultan Mizan bertitah disebabkan penularan wabak dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan Ramadan tahun ini amat berbeza dan memberi kesan kepada seluruh umat Islam. Baginda menyeru umat Islam menjadikan wabak COVID-19, sebagai kekuatan untuk menggandakan amalan sepanjang Ramadan.

“Menjadi kebiasaan umat Islam melakukan persiapan menyambut Ramadan dan melaksanakan amal ibadat termasuk menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau serta bertadarus al-Quran beramai-ramai.

“Jadikan ujian dilalui ini menjadi asbab untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah,” titah baginda dalam perutusan menyambut ketibaan Ramadan.

Sultan Mizan turut melahirkan rasa dukacita apabila ada antara rakyat positif COVID-19 dan meninggal dunia disebabkan wabak itu.

“Beta menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas ujian terpaksa dihadapi seluruh rakyat dan beta sentiasa mendoakan mereka yang masih menerima rawatan kembali sembuh. Beta menggesa semua rakyat memberi kerjasama dan mematuhi peraturan serta arahan ditetapkan kerajaan terutamanya mematuhi PKP,” titah baginda.

Sultan Mizan turut menggesa rakyat sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal daripada terus merebak.

“Beta juga menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk pegawai kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA yang melaksanakan tugas tanpa mengenal penat dan lelah untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Beta meminta seluruh umat Islam terus menghidupkan amal ibadat termasuk menunaikan solat sunat tarawih, berzikir, bertahmid, berselawat, bertadarus secara berjemaah bersama ahli keluarga di rumah,” titah baginda.

Sumber : BH Online

Leave a Reply