Input your search keywords and press Enter.

Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Kabinet Pertama Hari ini

M Update, 11/3/2020 – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Perdana Putra, di sini.

Mesyuarat yang bermula pada jam 9.25 pagi itu dihadiri semua 31 menteri. Sebelum mesyuarat Kabinet itu bermula, Muhyiddin menyertai sesi bergambar bersama Jemaah Menteri.

Isnin lalu, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet, yang buat pertama kali dalam sejarah negara tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Muhyiddin sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menteri Kabinet yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, semalam.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac.

Turut hadir dalam mesyuarat Kabinet pertama itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Datuk Dr Farizah Ahmad. – BERNAMA

Leave a Reply