Input your search keywords and press Enter.

Pelajar Dibuli Senior Hingga Rosak Limpa

M Update, 12/3/2020 – Seorang pelajar lelaki cedera selepas menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah maahad tahfiz di Tanjung Karang, Selangor, semalam.

Difahamkan, kejadian buli itu mendapat perhatian netizen selepas status dan gambar dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) yang mendakwa abang kepada mangsa tular di laman sosial. Rata-rata netizen mencemuh dan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap pelajar lelaki itu. Menerusi status itu, dia mendakwa adiknya cedera di bahagian limpa dan hati.

“Doktor memberitahu kemungkinan organ limpa akan dibuang dan menyebabkan sistem imunisasi badan tidak berfungsi (mudah dijangkiti penyakit),” katanya.

Dakwa lelaki itu, adiknya dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior itu telah diangkat dan dihempas ke lantai.

“Pihak keluarga telah meminta rakaman CCTV (rakaman kamera kitar tertutup) tetapi pihak tahfiz mengatakan CCTV di pusat tahfiz itu rosak,” katanya.

Menurut lelaki itu, dia difahamkan terdapat tiga lagi rakan adiknya turut menjadi mangsa buli.

“Kecederaan pada adik sangat teruk sehingga ditahan wad. Laporan polis telah dibuat dan mohon bantuan rakan-rakan supaya mendoakan adik saya sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di maahad tahfiz itu mendapati tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS ) hadir berjumpa dengan pihak pengurusan maahad tahfiz itu. Malah, ibu bapa juga mula dipanggil pihak pentadbiran berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – HM Online

Leave a Reply