Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Dua Individu Lari Dari Hospital PALSU

M Update, 17/3/2020 – Berita dua individu yang dikatakan positif COVID-19 melarikan diri dari Hospital Port Dickson seperti yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata sebaliknya kedua-dua individu itu yang berusia 40 dan 44 tahun datang ke hospital berkenaan bagi menjalani ujian saringan mengikut prosedur hospital kerana dikatakan mempunyai simptom COVID-19.

Bagaimanapun, katanya individu berumur 40 tahun itu meninggalkan hospital tanpa menjalani ujian saringan tetapi kembali semula untuk mendapatkan rawatan atau ujian saringan sementara seorang lagi belum kembali semula ke hospital dan dalam usaha mengesannya.

“Kenyataan yang tular mengatakan kedua-dua orang awam ini positif COVID-19 tidak benar kerana pihak hospital belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan hasil keputusan saringan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan lanjut masih dijalankan sama ada kedua-duanya hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur ataupun tidak, berikutan banyak jangkitan direkodkan susulan perhimpunan itu.

“Pihak polis menasihatkan mana-mana individu supaya tidak menularkan sebarang kenyataan atau laporan yang tidak benar dalam media sosial kerana ia boleh mendatangkan rasa panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, menularkan berita itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. – BERNAMA

Leave a Reply