Input your search keywords and press Enter.

Agong, Permaisuri Kuarantin Diri Selepas 7 Petugas Istana Negara Positif

M Update, 26/3/2020 – Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri, kini menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam, selepas tujuh petugas Istana Negara dikesan positif COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sudah menjalani saringan kesihatan dan pengesanan COVID-19 dan disahkan negatif.

Beliau berkata, kesemua petugas Istana Negara yang dikesan positif COVID-19 itu, berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Selasa lalu. Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengenal pasti punca jangkitan berkenaan.

Ahmad Fadil berkata, susulan kejadian itu, Al-Sultan Abdullah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik COVID-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini.

“Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, akan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari yang akan ditentukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Semalam, Zulkifli dalam kenyataannya berkata menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menunaikan solat di rumah atau tempat masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 di seluruh negara, sekali gus menangguhkan aktiviti masjid dan surau bagi mematuhi perintah kawalan itu

Leave a Reply