M Update, 26/3/2020 – Kerajaan akan mengagihkan topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata topeng muka berkenaan akan diedarkan melalui jawatankuasa bencana negeri dan daerah.
“Kita sedang menunggunya dari negara yang kita import dan apabila sampai ke negara kita dalam waktu terdekat, kita akan edarkan secara berperingkat,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Menurutnya topeng muka berkenaan tidak diperoleh secara percuma sebaliknya dibeli oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengulangi peringatan kepada masyarakat
supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menghuru-harakan
keadaan.
“Masih banyak berita palsu yang dikeluarkan …tiada untungnya kepada sesiapa dengan mengeluarkan berita palsu ini,” tegasnya.
Sumber : BERNAMA