Input your search keywords and press Enter.

Kanak-Kanak Mangsa Rabies ke-23 Di Sarawak

M Update, 30/3/2020 – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menjadi mangsa terbaharu rabies di Sarawak, meninggal dunia di Hospital Sibu, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kanak-kanak yang menetap di Bandar Sibu itu adalah kes rabies ke-23 yang direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 31 Julai 2017 dan menjadi kes pertama tahun ini.

“Kanak-kanak itu pernah diserang dan digigit anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut dan kelopak mata namun lukanya tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun selepas kejadian sebelum mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama.

“Mangsa kemudiannya mendapat suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) serta dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu dan dibenarkan keluar wad dalam keadaan sihat pada 13 Mac sementara dos ketiga vaksin anti-rabies juga sudah diambil pada 16 Mac, ” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham, berkata bagaimanapun, Selasa lalu, mangsa yang demam dibawa ke sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sibu dua hari kemudian kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

Katanya, keadaan mangsa bagaimanapun bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia selepas sehari di wad dengan sampel kanak-kanak itu disahkan positif rabies encephalitis oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac 2020.

“Anjing liar yang mengigit mangsa juga dilaporkan mati pada 10 Mac 2020 namun tiada sampel yang diambil.

“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh, ” katanya.

Beliau berkata, orang awam juga diminta mengambil langkah pencegahan rabies dengan mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Selain itu, katanya pemilik haiwan harus memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan daripada bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk bersikap agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran. “Laporkan juga kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

“Selain itu, orang awam hendaklah sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan, ” katanya. – BH Online

Leave a Reply